Tugas ibu bapa tidaklah semudah yang disangka dan sudah tentunya sebagai ibu bapa mahu berikan yang terbaik untuk anak tercinta. Pelbagai perkara dicuba untuk memastikan anak gembira sehingga menyebabkan mereka kadang-kala tidak takut dengan si ibu.
Perkara ini menyebabkan anak berani untuk meninggi suara dan mula menjadi kasar apabila ditegur oleh ibu tetapi lain pula sikapnya jika bersama ayah. Justeru itu, ayah-ayah di luar sana perlu menjalankan tugas mereka apabila anak mula ‘naik kepala’. Ikuti perkongsian doktor di bawah.
ANAK MULA TINGGI SUARA DENGAN IBU
Jelas perkongsian Dr Redza Zainol itu, beliau berkata ketika anak mula kasar, elakkan untuk membiar ibu keseorangan menghadapi situasi tersebut.
Semakin lama semakin tinggi suaranya. Tutur kata anak ni mula jadi kasar, tangan mula diangkat-angkat, kaki dihentak-hentak. Pada saat ibu mula membisu, pantas si ayah datang. Pendek dan ringkas saja ayat si ayah, terus anak mula menukar nada suara jadi lebih lembut dan tenang.
Sebab tu jangan dibiar bila anak mula naik suara pada ibu. Cuba elakkan isteri berseorangan pada saat ini. Salah satu tugas ayah ialah sentiasa menjadi penyokong kepada isteri.
Caranya ialah bila anak mula ‘naik kepala’ dengan ibu, ayah kena terus tegur perbuatan anak jika dia berada di situ. Selepas ayah menegur anak, duduk berdekatan dengan mereka untuk pastikan 2 perkara ini berlaku:
- anak guna nada suara yang rendah dan lembut dengan ibu.
- isu yang cuba diselesaikan berlaku dengan penuh rasa hormat terhadap ibu.
1. Anak ni lebih mudah dengar cakap ayah berbanding ibu. Kita cakap pendek-pendek pun anak terus faham.
2. Anak sangat mengharap pujian dari ayahnya.
3. Sebab tu dia nak dirinya nampak sempurna di mata ayah. Bila ayah dah asyik perhati saat dia naik suara dengan ibu, cepat-cepat dia akan tukar nada suaranya tu.
4. Anak ni umpama CCTV. Apa yang mereka lihat dan dengar, dia akan tiru dan itulah yang membentuk diri mereka bila semakin dewasa.
5. Jalani kehidupan kekeluargaan dengan penuh kasih sayang.
6. Percayalah, ayah adalah hero di hati anak. Mereka bangga dengan ayah masing-masing. Mereka nak jadi yang terbaik di depan kalian.
Gunalah kelebihan ini untuk mempengaruhi anak anda menjadi manusia yang hormat ibubapa dan orang lain.
Sumber ; Dr Redza Zainol